Wednesday, May 03, 2006

Wanita Berbaju Putih Membawa Batu Nisan...

“ Mana la aku nak cari benda tu , besok dah nak pakai dah ,” Pak Rahmat berkata sendiri . Sejak dua hari yang lepas lagi hatinya tidak tenang kerana memikirkan permasalahan yang sedang bertandang di dalam kehidupannya . Semenjak dua hari lepas jugalah tidurnya tidak pernah lena seperti selalunya . Pada malam itu dia mengambil keputusan untuk pergi ke warung Wak Deman dengan harapan dapat melekakan fikirannya dari terus memikirkan masalahnya itu buat sementara waktu .
Setibanya dia di sana , kelihatan suasana di warung sudah semakin lenggang dengan hanya beberapa orang pelanggan tetap sahaja yang masih setia bertenggek di dalamnya . Warung Wak Deman ini sememang sudah menjadi tempat rasmi buat kaum-kaum Adam menjalankan aktiviti-aktiviti mereka yang boleh dikatakan kurang berfaedah seperti berborak kosong , membincangkan isu-isu politik semasa dan kekadang menyebarkan gosip-gosip panas di sekitar Kampung Pening Selamba ini sendiri .
“ Hai , Mat ? Apa ke jadahnya kamu pergi warung ni malam-malam buta ni ? Biasanya kamu ni kalau dah nak masuk maghrib je dah tak nampak batang hidung tu ,” tegur Pak Lebai yang duduk semeja dengan Meon Kerbau dan Salim Getah . Pak Rahmat sememangnya sudah cukup kenal lama dengan mereka bertiga ini . Boleh dikatakan sejak dia masih muda lagi .
“ Yela , Mat . Kau dah buang tabiat ke ? Tak pun kau gaduh dengan bini kau ?” sampuk Meon Kerbau pula . Pak Rahmat hanya tersenyum lemah dan duduk bersama mereka . Dia lalu memesan secawan kopi panas .
“ Takde la Meon . Aku saja je nak tukar angin malam ni . Hah , korang tengah cerita pasal apa ni ? Boleh aku join sekaki ?” tanya Pak Rahmat cuba untuk menukar topik . Dia tahu sekiranya dia tidak berbuat demikian , nescaya tiga orang sahabatnya itu akan tidak henti-henti menanyakan soalan kepadanya .
“ Ni hah , anak Imam Kassim tu . Katanya kena tumpang dek pontianak dekat jalan baru tu semalam ,” kata Salim Getah memulakan semula perbualan hangat mereka yang tergendala sebentar tadi .
“ Anak Imam Kassim , si Sarip Kutu Embun tu ? Padan sangat la dengan muka dia . Selalu sangat pulang jauh malam ,” balas Pak Rahmat sambil ketawa kecil .
“ Hish , kau ni Mat . Tak baik kamu cakap macam tu . Aku dengar masuk hari ni dah empat hari dia demam sejuk ,” Pak Lebai bersuara .
“ Macam mana dia boleh kena tumpang tu ?” tanya Pak Rahmat dengan penuh minat .
“ Begini , semalam masa budak Sarip tu tengah dalam perjalanan nak pulang , tiba-tiba ada awek cun tahan motor dia . Biasalah anak muda , pantang tengok dahi licin sikit dah naik bulu . Kata awek tu dia nak tumpang sampai ke hujung jalan . Jadi si Sarip tu apa lagi , tak tolak peluang le dia . Kena lagi awek tu cun gila . Sampai je mereka di tempat yang awek tu katakan , dengan tiba-tiba awek tu hilang dan lepas si Sarip dengar suara perempuan tengah mengilai ,” jelas Salim Getah .
“ Ala , mungkin si Sarip tengah berkhayal masa tu . Ni la orang kita ni , cepat sangat nak percaya dengan benda karut-marut macam tu . Dah la , kita cerita pasal benda lain la . Bosan aku dengar cerita karut tu ,” bentak Pak Rahmat . Kawan-kawannya memang sudah mengagak yang dia akan berkata demikian . Ini kerana Pak Rahmat ni memang payah nak percaya tentang sesuatu benda kalau dia tak nampak dengan mata kepala dia sendiri . Mahu tak mahu , akhirnya mereka terpaksa menukar topik perbualan mereka .
Sedar tak sedar , hari sudah lewat malam . Semua pelanggan warung Wak Deman sudah mulai meninggalkan kerusi dan meja mereka . Hanya tinggal mereka berempat sahaja yang belum berganjak . Namun setelah Wak Deman membuat beberapa signal , akhirnya mereka terasa dan mula mengorak langkah untuk pulang ke rumah .
“ Kau ingat sikit Mat . Budak Sarip tu kena ganggu dek pontianak tu dekat jalan menuju ke rumah kamu ,” pesan Pak Lebai .
“ Ala , kalau aku jumpa dengan pontianak tu nanti , aku sampaikan salam rindu kau kat dia ,” balas Pak Rahmat sambil ketawa besar . Kawan-kawannya yang lain hanya mampu untuk menggelengkan kepala mereka . Pak Rahmat lalu menghidupkan enjin kereta kancilnya dan mula bergerak pulang ke rumahnya .
Suasana di jalan ketika itu sangat sunyi dengan tanpa sebuah kenderaan pun yang berada sama ada di depan atau di belakang kereta Pak Rahmat . Rasa bosan mula menyelubungi hati kecilnya . Lebih mengecewakan lagi radio keretanya telah rosak hasil dari kerajinan anak sulungnya Jaya yang sering menukang speaker radio tersebut . Bila mengenangkan sahaja tentang anak sulungnya itu , hatinya bertukar risau kembali seperti sebelum ini . Titik permasalahan mula memenuhi fikirannya . Baginya semua permasalahan ini adalah disebabkan oleh kebodohan anak lelakinya itu .
“ Ini la kau Jaya . Bapak suruh kamu tempah awal-awal benda tu , kau boleh kata terlupa . Sekarang bapak juga yang susah . Tak boleh diharap punya anak ,” sumpah Pak Rahmat sendiri . Di dalam kerancakkan Pak Rahmat menyumpah seranah anaknya itu , tiba-tiba matanya menangkap kelibat seorang gadis yang berpakaian serba putih sedang memberhentikan keretanya . Perlahan-lahan Pak Rahmat memberhentikan kenderaan ke tepi jalan . Ternyata gadis itu berada lingkungan usia 20-an . Di tangan kanan gadis tersebut sedang mengendong sesuatu yang ditutupi oleh kain putih .
“ Anak tunggu siapa malam-malam buta begini ?” tanya Pak Rahmat kepada gadis itu . Dia cuba untuk melihat raut wajah sebenar gadis tersebut . Namun tidak berhasil kerana rambut panjang gadis tersebut menutupi keseluruhan bahagian atas mukanya . Yang kelihatan hanya hidung mancung dan bibir gebunya . Ianya sudah cukup menunjukkan bahawa gadis itu adalah seorang yang cantik .
“ Saya nak pergi ke hujung sana tu pak cik ,” jawap gadis itu .
“ Kalau macam tu , jom ikut pak cik . Tak baik tau anak duduk sini seorang-seorang , nanti terjadi perkara tak diingini . Lagipun kebetulan , pak cik pun lalu jalan tu ,” pelawa Pak Rahmat dengan sopan . Gadis itu lalu membuka pintu kereta Pak Rahmat dan duduk di bahagian belakang. Pak Rahmat tersenyum . Di dalam buah fikirannya , alangkah eloknya jikalau gadis itu boleh dijadikan colan menantunya . Lagipun anaknya Jaya tu sudah lama membujang . Dia pun sudah lama mengidam hendak bercucu . Gambarannya menimang seorang cucu yang comel mula bermain di fikirannya .
Sepanjang perjalanan gadis itu langsung tidak berkata-kata . Pak Rahmat mula merasa bosan kembali . Bagi mengelakkan dari perkara itu berlaku , dia lalu cuba untuk membawa gadis tersebut berbicara .
“ Anak ni datang dari bandar ye ? Sebab pak cik tak pernah nampak anak sebelum ni ?” katanya kepada gadis itu .
“ Pak cik nak tau tak ? Dulu saya berkerja di kilang keropok kat kampung sebelah tu . Masa tu saya hidup dengan bahagia sekali . Sehinggalah , saya berjumpa dengan seorang lelaki yang selalu usik saya kalau saya balik kerja . Ditakdirkan pula saya telah jatuh cinta dengannya . Kami menjalinkan hubungan selama hampir enam bulan lamanya . Kerana terlalu percayakan dia , saya telah menyerahkan harga diri saya kepadanya . Malang bagi saya kerana seminggu lepas tu saya disahkan mengandung . Lebih malang lagi apabila dia tidak mahu bertanggungjawap dengan perbuatannya malah selepas itu saya diberitahu bahawa dia telah berhijrah ke Kuala Lumpur . Sepanjang saya mengandung tu , saya sering dicaci dan dimaki oleh orang-orang kampung dan keluarga saya sendiri . Sehinggalah akhirnya saya mengambil jalan mudah untuk menamatkan penderitaan saya . Saya membunuh diri dengan meminum racun tikus . Dan sejak tu la saya dipindahkan ke kampung ni pak cik . Hah ! kat simpang tu je pak cik ,” kata gadis itu .
Di dalam keadaan yang semakin panik , Pak Rahmat masih mampu mengawal dirinya . Perlahan-lahan dia memberhentikan kenderaannya betul-betul di satu simpang yang mempunyai papan tanda yang bertulisan jawi . Apabila dia mengamati tulisan tersebut , ianya bermaksud ‘Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Pening Selamba’ !!!
“ Mesti pak cik tertanya-tanya apakah benda yang saya sedang bawa ni kan ? Hah ! Inilah bendanya tu . Heiheiheiheihei..” kata gadis itu lagi setelah dia sudah keluar dari kereta sambil menunjukkan sebuah batu nisan kepada Pak Rahmat ! Mata Pak Rahmat terbeliak besar melihat semua kejadian ini . Hatinya berdebar kencang ! Lebih-lebih lagi apabila dia melihat batu nisan tersebut .
“ Ini sudah bagus ! Bak sini batu nisan tu !” kata Pak Rahmat lantas meragut batu nisan tersebut dari tangan gadis puaka itu . Dia lalu memecut kenderaannya sepantas dan sejauh yang boleh dari gadis puaka tersebut . “ Hahahaha..akhirnya dapat juga aku nak cari batu nisan untuk kubur laki si Tijah tu . Selesai masalah aku . Boleh la aku pasang Astro bila si Tijah bayar aku nanti . Jadi tak payah la lagi aku susah-susah nak pergi ke warung Wak Deman yang jauh tu semata-mata nak tengok gusti . Hahaha..” kata Pak Rahmat Si Pengali Kubur dengan riang dan gembira . Sementara itu , jauh di belakang kelihatan gadis puaka itu tadi masih lagi termanggu di bahu jalan kerana tidak memahami respon hampeh yang diberikan oleh Pak Rahmat …

No comments: