Monday, May 15, 2006

Bila Cinta Didusta...

Mata Hadi liar memerhati sekeliling . Namun kesemua pokok-pokok dan semak-samun di dalam hutan itu kelihatan sama sahaja . " Sah aku sesat!! Gampang betul ," bentaknya sendiri .
Hadi adalah seorang pengkaji dunia hijau yang baru sahaja menamatkan pengajiannya di sebuah universiti tempatan bulan lepas . Niat hati pada mulanya ingin mencari beberapa jenis akar kayu untuk dijadikan sebagai bahan kajian . Namun setelah berjalan merentasi belantara selama hampir satu jam , dia akhirnya mendapati bahawa dirinya telah sesat dengan jayanya .
Lebih seronok lagi dia pergi ke hutan bersendirian . Dan kesesatannya itu tidak dapat dikesan oleh saudara-mara mahupun jiran yang terdekat . Hadi mula mati akal mengenangkan akan situasinya itu .
Sedang dia asyik menyumpah seranah akan kebodohan dirinya sendiri di bawah sebatang pokok yang besar , dengan tiba-tiba kedengaran satu suara yang merdu menyapanya dari tepi . Walaupun suara tersebut lemah dan perlahan , tetapi ianya cukup gemersik pada pendengaran Hadi . Dia mendapat satu lagi kejutan apabila dia mendapati bahawa yang empunya suara itu adalah seorang gadis yang cantik dan ayu .
" Abang nie sesat ke?" tanya si gadis .
" Eh?! Takde la , abang cuma terlupa jalan keluar je ,"
" Abang nie…boleh buat lawak bodo lak kat dalam hutan nie , marilah ikut saya . Biar saya tunjukkan abang jalan keluar ,"
Mata Hadi bersinar mendengar kata-kata gadis itu . Tanpa berlengah dia lantas berdiri dan mengekori gadis tersebut dari belakang . Matanya sempat melihat potongan badan gadis ayu itu . Ianya cukup hebat untuk menimbulkan rasa buas di dalam sanubarinya . Kalau diikutkan hati , mahu saja dia menerkam gadis mungil itu biar puas nafsu serakahnya . Tapi berkat iman tipis yang tenggelam timbul dia mampu mengawal dirinya .
Sepanjang perjalanan , mereka berbual mesra . Sedar tak sedar akhirnya Hadi ditakdirkan jatuh cinta pada pandangan pertamanya kepada si gadis yang masih belum dia ketahui akan namanya . Baginya menemui jalan keluar bukanlah soal utama lagi . Dia kini sudah cukup bahagia bersama gadis idamannya itu .
" Dah lama kita berbual . Tapi abang masih tak tau lagi siapa nama awak ,"
" Nama saya , Wati ,"
" Nama abang pulak Hadi . Macam secocok lak nama kita nie kan ? Wati..Hadi…Wati tinggal kat mana ?"
" Saya rasa abang tak perlu tahu di mana saya tinggal . Cukuplah saja abang tahu nama saya ,"
Hadi terasa sedikit kecewa dengan jawapan Wati itu tadi . Dia mula merasakan bahawa usaha mengayatnya selama ini bagaikan embun pagi yang menghilang di tengahari . Dia mula mendiamkan diri . Mungkin kerana rasa malu mula bertandang di hati .
" Kenapa abang diam ? Maafkan saya kalau kata-kata saya tadi menyinggung perasaan abang . Saya takut sekiranya saya beritahu abang di mana saya tinggal , abang akan anggap saya seorang penipu ," Wati bersuara . Hati Hadi sedikit terubat mendengar penjelasan Wati itu . Dia mula kembali merasakan sinar harapan untuk memenangi hati dan cinta Wati .
" Wati…kalau abang anggap Wati nie penipu , takdenya abang nak ikut Wati cari jalan keluar nie tau tak ? Wati cakap je la . Abang percaya cakap Wati ," balas Hadi dengan lembut sambil memasang harapan ianya dapat mencairkan hati Wati .
" Begini bang , sebenarnya Wati berasal dari alam bunian . Wati bukanlah orang biasa . Wati merupakan salah seorang daripada penghuni alam bunian ,"
Hadi tersentak mendengar semua itu . Dia mula sangsi . Keraguan yang berbaur percaya memenuhi ruangan hatinya . Jika difikirkan secara logik , memang tidak mustahil Wati adalah seorang gadis bunian kerana kehadirannya yang secara mengejut di dalam hutan belantara yang luas itu .
" Jadi , maknanya abang tak bolehlah berkawan dengan Wati? Hanya kerana dunia kita berbeza? Terus terang abang katakan bahawa abang mempunyai hati dengan Wati seawal pertemuan kita tadi lagi ," balas Hadi dengan lemah . Dia sudah tidak dapat membendung rasa hatinya lagi . Biarlah Wati tahu bahawa dia mempunyai keinginan untuk berkawan dan sekaligus menjadi teman hidup Wati .
" Abang…kalau Wati tak nak berkawan dengan abang , Wati tak tolong abang cari jalan keluar . Er…sebenarnya Wati pun ada hati dengan abang juga ,"
Mahu sahaja Hadi terlonjak gembira mendengar kata-kata Wati sebentar tadi . Namun demi mengontrol kehensemannya yang tidak seberapa itu , dia membatalkan niatnya . Mereka mula berpandangan mata . Senyuman manis mula terukir diwajah masing-masing . Pucuk-pucuk cinta mula bersemi di dalam hati mereka .
" Tapi bang..sanggupkah abang meninggalkan dunia abang demi untuk bersama dengan Wati bang ?"
" Wati…apalah gunanya dunia abang tanpa Wati berada di sisi abang ? Demi kebahagian kita berdua , abang sanggup buat apa saja ,"
Sekali lagi mereka bertentang mata . Tangan kasar Hadi mula memegang tangan halus Wati. Manakala Wati hanya tersipu malu apabila menyedari tangannya kini sedang digenggam mesra oleh Hadi .
" Abang dapat merasakan kini akan keindahan sebenar dunia fana ini Wati . Biarlah hutan belantara ini menjadi saksi dua insan dari dua dunia yang berbeza bersatu atas dasar kata cinta yang sejati . Cinta yang tiada tolok tandingnya . Cinta bagaikan Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang . Cinta yang tidak berbelah bagi dan…" Belum sempat Hadi menghabiskan kata-kata manisnya , tiba-tiba kedengaran satu suara garau yang memotong stimnya dengan Wati .
" Cinta kepala hotak hang ," kata seorang lelaki tua dengan selamba ditemani oleh seorang wanita tua dan beberapa orang lain .
" Wati…mari balik dengan mak nak ," kata si wanita tua itu pula .
" Wati jangan tinggalkan abang Wati ! Hoi penghuni bunian semua ! Tidakkah kamu mempunyai hati dan perasaan ? Haruskah kamu berlaku kejam dengan kami insan yang sedang bercinta ? Janganlah kamu merampas Wati dariku!!" bentak Hadi dengan penuh bersemangat .
" Oii..mangkuk , kamu nie nama je orang bandar . Sekolah tinggi . Tapi kepala hotak tu bubuh kat lutut . Apa yang kamu merepek nie ? Ada ke panggil kami semua nie orang bunian ? Gilo ko ?" balas si lelaki tua masih dengan muka yang selamba .
" Ah!! Sudahlah , jangan la kamu cuba untuk mengaburi hati dan perasaan ku . Walau apa pun terjadi , aku tetap tidak mahu tinggalkan Wati ," bentak Hadi lagi dengan penuh nekad .
" Apa ke bodo gile sangat la budak nie ? Kau dengar sini baik-baik . Wati nie anak aku . Kepala hotak dia nie mereng sikit . Hati bapak mana yang tak tersentuh bila anak lelaki dia jadi macam nie ?" jawap si lelaki tua namun kali ini dengan wajah yang pilu sehingga beliau menitiskan air matanya .
" Apa?! Kepala hotak mereng ?! Anak lelaki ?! Apa ke jadahnya semua ini?" tanya Hadi dengan penuh hairan .
" Begini nak…anak mak cik nie sebenar baru saja keluar dari hospital bahagia kerana dia tertekan akibat penyertaannya sebagai peserta Miss Malaysia ditolak . Mana tidaknya ditolak kalau anak mak cik nie lelaki . Anak jangan tertipu dengan penampilan anggun anak mak cik nie sebab dia nie memang pandai berfesyen . kalau anak tak percaya dia nie lelaki , nie hah kad pengenalan beliau ," terang si wanita tua sambil menghulurkan sekeping kad pengenalan kepada Hadi .
Di dalam kad pengenalan tersebut terpampang gambar seorang lelaki yang iras dengan Wati dengan nama Deman Syahwati Bin Soot Piau . Sejurus itu tanpa kompromi Hadi jatuh pengsan dengan mulutnya berbuih dan hidungnya mengalirkan darah merah dengan lancar . Orang kampung yang kebetulan berada di situ bergegas membawa beliau ke klinik desa yang berhampiran . Rupanya Hadi hanya sesat di dalam hutan kecil di Kampung Sedawai Keras dan cinta sejatinya telah didustai dengan penuh kejam . Sekian adanya…

2 comments:

Anonymous said...

hai, blog awk ni best la... bagaikan hinggap di bungga lalu minum madunya.. boleh lah nak mungubat kesepian ketika luka melanda.... anyway gud job guys....

Anonymous said...

Very cool design! Useful information. Go on! http://www.the-national-fire-alarm-code.info/King-fisher-fire-alarm-panel.html