Wednesday, May 03, 2006

Penunggu Villa Usang...

Di dalam kegelapan dan keheningan malam , kelihatan dua susuk tubuh sedang berjalan menuju ke sebuah villa usang yang terletak di puncak bukit . Salah seorang daripada mereka membawa sebuah perakam video dan salah seorang lagi hanya membawa sebuah buku nota dan sebatang pen . Dengan berpandukan sorotan lampu suluh , mereka berdua menggagahkan diri untuk terus berjalan menuju ke arah villa yang dikatakan berpenunggu itu .
“ Din , kau yakin ke villa nie ada drakula ?” tanya Meon kepada Sudin , wartawan kisah misteri yang sungguh tidak terkenal . Sudin dapat tahu tentang villa tersebut dari seorang pemanggil misteri beberapa hari yang lepas . Pemanggil yang hanya mahu dikenali sebagai Y itu menyatakan bahawa dia sering terlihat lembaga sedang berkeliaran di dalam villa tersebut dan diikuti dengan sorotan cahaya lilin menerangi segenap tingkat atas villa tersebut .
“ Kalau bukan Drakula apa lagi ? Dah la…kau ikut je aku . Nanti kalau kita dapat menemuramah Drakula tu tak ke glamour gila kita lepas tu ?” kata Sudin cuba untuk membakar semangat rakan setugasnya . Setelah hampir lima minit meredah semak-samun tebal , akhirnya mereka kini berdiri betul-betul di hadapan pintu masuk villa tersebut .
Dengan keberanian yang tenggelam timbul , Sudin membuka pintu hadapan dan kemudiannya masuk ke dalam diikuti oleh Meon di belakang . Suasana di dalam villa tersebut amat menyeramkan macam dalam filem-filem Drakula barat yang sedang ditayangkan dipanggung-panggung tempatan yang berhampiran .
“ Din!! Tengok kat atas tu Din…Ada cahaya lilin..Mati la Din , Drakula tu dah tau kita nak datang . Jom la kita blah Din ,” kata Meon dengan nada suara takut yang teramat sangat sehingga beliau gagal untuk mengawal diri dan mula mempersembahkan tarian zapin seketika . Sudin yang bengang melihat aksi rakannya itu lalu turut mempersembahkan tarian joget sebagai tanda dengki beliau .
“ Ah..sudah!! Kang ada yang kena pelempang dengan aku kang . Jom kita naik atas tu dan jumpa dengan Drakula tu . Kalau boleh kita interview dia sekali macam dalam filem Interview With The Vampire tu . Lepas nie , kau caya la cakap aku Meon . Muka kita nie mesti kena tengok satu Malaysia punya la ,” kata Sudin dengan penuh retorik . Termakan dengan kata-kata manis Sudin itu , Meon lalu memberanikan dirinya untuk naik ke tingkat atas villa tersebut .
Setiba mereka di tingkat atas , kelihatan seorang lelaki berambut panjang dan berbadan kurus sedang duduk di hadapan sebatang lilin yang sedang menyala . Meon dan Sudin kini berada di sebuah ruang yang sangat luas . Mungkin ianya adalah ruang tamu .
“ Aku sudah tahu tujuan kamu datang ke mari wahai manusia . Duduklah di hadapan sana . Jangan datang terlalu dekat dengan ku . Kerana kamu pasti tidak akan mahu melihat wajahku yang sangat mengerikan ini ,” kata lelaki tersebut .
Meon dan Sudin hanya menurut arahan lelaki tersebut . Mereka duduk di atas kerusi-kerusi kayu yang terletak beberapa meter jauh dari di mana kedudukan lelaki misteri itu berada . Mereka berdua hanya mampu melihat bayangan badan lelaki tersebut kerana jarak yang agak jauh . Namun bagi Sudin ianya sudah memadai kerana apa yang lebih penting ialah sesi temubual mereka bersama lembaga tersebut .
“ Korang dah sedia ke belum ? Gua dah nak start cerita tang kisah hidup gua dah nie ,” kata lelaki itu lagi .
“ Sudah wahai encik Drakula ,” jawap Sudin dengan penuh sopan santun .
“ Gua dulu masa kat sekolah selalu kena marah dengan cikgu gua . Dia marah sebab gua selalu tak siap kerja rumah . Ada ke patut?Dan…bila gua meningkat dewasa , gua susah sangat nak dapat kerja . Mak dengan bapak gua pulak asyik sibuk dengan kakak gua yang belajar kat Universiti tu . Hidup gua menderita dan terbiar wa cakap sama lu ,”
“ Din apasal aku rasa macam tak sedap hati bila dengar slang Drakula tu ? Macam…” bisik Meon .
“ Hisk!!Kau diam la . Biasa la tu , hantu pun pandai tiru slang manusia la ngok…Dah la kau diam dan rakam je boleh tak ?” balas Sudin dengan nada penuh benci .
“ Hoi mangkuk!! Korang nak dengar cerita aku ke tak nie ? Kalau tak baik korang blah je ,” jerit lelaki tersebut .
“ Maaf encik Drakula , sila la teruskan ,” jawap Sudin .
“ Hidup gua sangat terdesak pada ketika itu . Sehinggalah pada suatu hari gua berjumpa dengan seorang lelaki misteri di sebuah lorong gelap . Dia kata dia boleh buat gua tak takut mati dan hidup selama-lamanya . Pada malam itu la gua telah bertukar menjadi seorang Vampire yang terganas di Malaysia nie . Hahahahaha…gelak ganas ,” sambung lelaki tersebut sambil ketawa tahap tak sedar diri .
“ Lu ada bawak air tak beb ? Haus pulak lepas gelak sakan nie ,” tanya lelaki itu .
“ Maaf la encik Drakula…eh , encik Vampire…kami tak bawak air la ,” jawap Sudin .
“ Lalok la lu…tapi takpe . Selambe..”
“ Er…encik vampire , apa rasanya menjadi seorang vampire nie ? Boleh tak encik menjelaskannya kepada kami ?” tanya Sudin pula .
“ Jadi vampire nie…wa cakap sama lu beb . Dunia nie macam lu yang punya . Bila gua boring je , gua akan terbang ke bulan . Pastu kekadang gua akan terbang ke Amerika untuk jumpa vampire-vampire yang lain ,” Sudin mendengar kata-kata lelaki tersebut dengan penuh kagum . Di dalam benak fikirannya sudah mula membayangkan dirinya menerima anugerah wartawan terbaik di Malaysia . Dia yakin yang semua itu akan tercapai setelah dia mempamerkan hasil temubualnya ini kepada umum .
“ Baiklah encik vampire . Rerasanya kami sudah selesai . Bolehlah kiranya kami beredar ,” kata Sudin kepada lelaki tersebut . Lelaki itu kemudiannya membenarkan mereka berdua meninggalkan villa tersebut .
“ Lepas nie mesti muka kita akan dilihat oleh seluruh rakyat Malaysia sama ada melalui corong radio atau kaca televisyen serta muka suratkhabar . Glamour kita Meon..hehehehe..” bisik Sudin semasa mereka baru sahaja hendak memulakan langkah untuk meninggalkan villa tersebut .
Belum sempat mereka berjalan keluar , tiba-tiba villa tersebut menjadi terang-benerang . Sejurus itu kedengaran suara jeritan yang bertalu-talu . Malah suara jeritan lelaki misteri tersebut juga turut bergema . Sudin dan Meon mula berasa hairan dan panik . Mereka masih tidak faham dengan apa yang sedang terjadi . Dengan tiba-tiba mereka berdua disentap keras dari belakang…
“ Berita jam lapan…Pihak polis telah menangkap sekumpulan penagih di dalam sebuah villa yang telah ditinggalkan di Kampung Dompok malam semalam . Kumpulan penagih ini dikatakan baru sahaja ingin memulakan aktiviti mereka dengan satu gaya baru yang mana salah seorang daripada mereka akan merakam aktiviti durjana mereka itu . Namun dua daripada penagih tersebut enggan mengaku bersalah . Dan pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut . Dua suspek yang enggan mengaku salah tersebut dikenali sebagai Meon dan Sudin…” Sejurus itu wajah Meon dan Sudin terpampang di kaca televisyen . Sekian…

No comments: