Wednesday, May 03, 2006

Pontianak Menjerit...

“ Oi , Pontianak ! Turun la sini kejap . Borak-borak dengan kitaorang ,” jerit Toyol kepada Pontianak yang sedang bertenggek di dahan pokok ara dengan wajah yang cukup serius . Sudah hampir dua minggu dia tidak menyakat mangsanya . Dia sendiri pun tidak mengetahui akan punca kepada permasalahannya itu . Setiap malam dia menantikan mangsanya di pokok ara itu dengan niat ingin menyakat mereka dan sekaligus mendapat pujian daripada rakan-rakan hantunya yang lain . Namun usahanya itu sering menemui kegagalan .
“ Apa dia Toyol ? Kau ni kacau je la . Aku tengah on duty ni . Pegi main jauh-jauh sana ,” jawap Pontianak dengan nada separuh marah .
“ Ala…Pontianak , spoting la sikit . Malam ni kan malam minggu , cuti la sehari dulu ,” sampuk Pocong pula .
“ Yela kak , jom la duduk lepak dengan kami kat bawah ni . Kita borak-borak tentang gosip panas ,” kata Langsuir pula . Mahu tak mahu , sudahnya Pontianak terpaksa akur dengan permintaan rakan-rakan seperjuangannya itu . Mereka lalu duduk berkumpul di bawah pokok ara Pontianak .
“ Korang tau tak apasal sejak dua menjak ni aku tengok jarang benar orang kampung ni lalu depan port aku ni ?” tanya Pontianak kepada rakan-rakannya itu sambil menyala sebatang rokok sebagai pengubat kepada tensionnya .
“ Saya pun tak tau la kak . Saya ni pun dah ketandusan mangsa dah . Boring pula rasanya hati ni bila dah lama tak menyakat orang ,” jawap Langsuir sambil menghirup asap rokok Pontianak itu .
“ Ala , korang tu je yang tak reti nak cari mangsa . Asyik duduk bertenggek kat atas pokok ni je . Mana la nak dapat mangsa . Tengok macam aku ni hah , semalam je aku dapat sakat dua mat motor sampai demam sejuk cakap lu ,” celah Pocong dengan penuh riak . Jika diikutkan hati mahu saja rasanya Pontianak membakar kain kapan Pocong biar dia terus masuk neraka . Tapi apabila dia memikirkan semula kata-kata Pocong itu sebentar tadi , ada betulnya juga . Macam mana dia nak jumpa mangsa kalau asyik dok rilek kat pokok ara ni je .
“ Wah ! Hebat la abang Pocong ni . Satu malam je boleh dapat sakat dua orang sekali ,” puji Langsuir kepada Pocong sehingga membuatkan hidung Pocong kembang kuncup macam serombong kapal .
“ Pocong , kau bagi aku tips sikit kat mana aku nak cari mangsa malam ni . Tolong la , aku tengah gian nak menyakat ni ,” pinta Pontianak bersungguh-sungguh .
“ Rilek la Pontianak…Ok la , kalau kau nak aku boleh tolong . Kau boleh ambil satu mangsa aku ni . Dia ni selalu sangat lalu kat jalan baru tu hah ,” kata Pocong dengan selambanya .
“ Tapi itu kan port kau ? Kau tak kisah ke ?” tanya Pontianak lagi .
“ Ala , kawan punya pasal apa salahnya ? Tapi bukan malam ni la , dia biasa lalu kat sana pada malam Jumaat ,” balas Pocong dengan wajah ala-ala seorang ustaz . Wajah Pontianak menjadi cukup ceria mendengar kenyataan Pocong itu . Akhirnya dia dapat juga untuk membasahi kekeringan hasratnya untuk menyakat orang .
“ Korang tengok la nanti , aku mesti sakat tahap brutal habis punya la nanti ,” kata Pontianak dengan penuh serius .
“ Jangan kau sakat dia sampai sampai mati sudah ,” Toyol bersuara .
“ Ala , kau budak-budak apa tau ,” balas Pontianak .
Setelah menanti sekian lamanya , akhirnya malam yang ditunggu-tunggu oleh Pontianak pun telah tiba . Pada seawal maghrib lagi dia sudah bersiap sedia dengan penampilan yang paling ganas pernah diperagakan olehnya . Dia lantas pergi menemui rakannya yang lain di port Pocong .
Setibanya di sana , kelihatan Pocong dan yang lain sedang bergelak ketawa . Namun setelah melihat ketibaanya , tawa mereka itu langsung terhenti . Tanpa mempedulikan semua itu Pontianak lalu duduk bersama mereka .
“ So , jam berapa mamat tu nak lalu kat sini ? Aku dah tak sabar dah ni ,” katanya dengan penuh ghairah .
“ Tak lama lagi . Satu je pesan aku kat kau , sakat dia cukup-cukup punya yek ,” kata Pocong sebagai perangsang semangat Pontianak .
“ Kalau boleh biar sampai dia masuk wad kecemasan . Baru la hantu-hantu kampung sebelah tu gerun dengan kau Pontianak ,” tambah Toyol pula . Semangat Pontianak kini berada pada tahap yang maksima dan dia sudah cukup bersedia untuk beraksi .
“ Korang tak payah risau la , jangan panggil aku Pontianak la kalau aku tak buat mamat tu terkencing dalam seluar . Aku nak buktikan kepada Pontianak kat kampung sebelah sana tu yang aku ni la Pontianak yang terseram di seantero Malaysia ni . Hehehehe..,” kata Pontianak .
“ Ok la Pon , kitaorang blah dulu . Karang kantoi pula . So , good luck ye . Kitaorang tunggu kau kat port kau ok ,” kata Pocong lalu beredar meninggalkan Pontianak dengan misinya .
Agak lama juga Pontianak menunggu mangsanya itu sehinggalah dia terlihat satu susuk tubuh manusia sedang mengayuh basikal tua menuju ke arahnya . Pontianak kemudiannya terbang dan bertenggek di atas dahan sebatang pokok di bahu jalan . Dengan penuh sabar dia menunggu sehingga manusia itu lalu betul-betul di bawah pokok tersebut . Sebaik sahaja manusia itu melalui pokok itu , Pontianak lantas terjun dan mendarat tepat di bahagian belakang basikal orang tua yang berbaju melayu .
“ Hai..bang , boleh tumpangkan saya sampai kat kawasan perkuburan kat depan nun ? Heheheheii,” sakat Pontianak kepada orang tua itu . Namun orang tua itu sikit pun tidak menunjukkan rasa takut mahupun gerun dengan aksinya sebentar tadi . Malah dia meneruskan kayuhannya dengan penuh tenang dan selamba . Pontianak mula berasa tidak sedap hati .
“ Duduk baik-baik , saya akan hantar kamu kat sana balik ,” kata orang tua itu dengan tenang dan bersahaja . Wajah Pontianak mula bertukar pucat dan dia mula merasa tidak tentu hala .
“ Er…pak cik , takpe la , saya turun kat sini je la ,” kata Pontianak kepada orang tua itu tersebut dengan suara yang tergagap-gagap . Lalu lelaki tersebut memberhentikan basikalnya .
“ Kita sama-sama makhluk Allah S.W.T, kita tinggal pada satu bumi walaupun pada hakikatnya dunia kita jauh berbeza . Jadi nasihat saya kepada kamu janganlah mengganggu kaum-kaum manusia yang tidak berlaku salah kepada kamu . Sudah la , kamu boleh pergi sekarang tapi sebelum tu saya nak bagi kamu sedikit pengajaran agar menjadi contoh kepada kaum kamu yang lain ,” kata orang tua itu dengan tegas .
“ Eh ?! Itu akak Pontianak kan ? Apasal badan dia berasap tu hah ?” kata Langsuir sebaik sahaja dia terlihat kelibat Pontianak berjalan menuju ke arah dia , Pocong dan Toyol .
“ Dah Yol , baik kita blah . Aku tengok parah gila dia kena tu . Kang tak pasal-pasal aku pula dibakarnya ,” kata Pocong kepada Toyol yang sedang ketawa besar sejak dari tadi lagi . Lantas mereka berdua pun membuka langkah seribu .
“ Mana dua setan tu hah Langsuir ?! Cakap kat aku cepat !!” kata Pontianak dengan marah .
“ Eh ?! Apasal badan akak ni hangus sampai macam ni ?!” jawap Langsuir .
“ Haram jadah punya setan ! Ada ke dorang suruh aku sakat imam kat masjid tu ! Nasib la dia baca ayat sikit je kalau tak mau aku jadi abu . Kau cakap cepat mana binatang dua ekor tu !!”
“ Entah la kak , tadi dorang ada kat sini . Macam biskut pula dorang ni ,” kata Langsuir sambil cuba menahan ketawanya sehingga mukanya yang putih pucat itu bertukar merah .
“ Hah , gelak la ! Gelak la ! Kang aku toreh muka tu kang ! Arghhhhhhhh!!!” akhirnya jeritan Pontianak yang malang memecah kesunyian malam yang hening…