Wednesday, May 03, 2006

Pocong...

Entah kenapa pada malam itu Meon merasa serba tak kena . Mengali kubur pada waktu malam bukanlah pengalaman yang baru baginya . Sudah hampir tiga tahun dia bergelar sebagai pengali kubur dan berbagai-bagai pengalaman aneh sudah dia tempuhi . Namun pada malam ini dia merasakan bagai ada sesuatu yang buruk bakal terjadi .
Angin malam bertiup dengan kencang pada ketika itu . Tiupan angin yang tidak seperti selalunya berlaku ketika Meon sedang melaksanakan kerjanya . Dia kemudiannya bercadang untuk berehat seketika dan meminum kopi panas yang dibekalkan oleh isterinya Lijah . Mata kuyunya sesekali memerhati sekeliling kawasan perkuburan yang sedikit gelap dan sunyi . Tiba-tiba jantung Meon berdebar kencang . Matanya menangkap sesuatu berwarna putih sedang terhinjut-hinjut menuju ke arahnya .
“ Ya Allah ?!” kata Meon sebaik sahaja dia mendapati benda putih tersebut ialah pocong atau hantu bungkus yang sedang melompat-lompat ke arah di mana dia sedang terduduk ! Meon cuba untuk melarikan diri tetapi badannya terasa lemas dan tidak bermaya . Dia kini hanya mampu untuk melihat pocong itu semakin menghampirinya selangkah demi selangkah . Bau bangkai yang busuk mula menusuk hidung Meon sehingga membuatkan dia mula merasa loya .
Meon sekali lagi mengumpul segala tenaga yang dia ada untuk bangun dari duduknya dan melarikan diri dari makhluk ngeri itu . Setelah beberapa kali mencuba , akhirnya dia berjaya untuk bangun dan mula membuka langkah seribu . Dibelakangnya kelihatan pocong itu sedang mengejarnya . Meon semakin cemas dan jantungnya berdegup pantas . Dia tahu agak mustahil untuk mencari jalan keluar di dalam suasana yang gelap seperti itu . Lebih-lebih lagi dengan lingkungan kawasan perkuburan yang besar .
Sedang Meon mengerah kuderat untuk berlari sepantas yang boleh , tiba-tiba dia jatuh menyembah tanah . Kakinya telah tersadung akar pokok kayu yang menjalar . Di dalam rasa cemas yang semakin memuncak itu , dia sempat menyumpah seranah akar kayu tersebut . Dia lantas cuba untuk bangun dan meneruskan lariannya . Tetapi sudahnya dia terduduk kembali kerana kaki kanannya terseliuh dan tidak mampu untuk digerakkan .
Pocong yang sedang mengejarnya kini sudah semakin hampir . Sekali lagi bau busuk bangkai mencengkam hidung Meon . Dia sudah berputus asa dan hanya menyerahkan segalanya kepada Allah S.W.T . Mulutnya mula terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran . Manakala pocong ngeri itu semakin menghampirinya . Meon lantas memejamkan matanya .
Keadaan beransur tenang dan angin kencang yang bertiup mula kembali tenang . Perlahan-lahan Meon membuka mata . Jauh di lubuk hatinya dia berdoa agar kelibat pocong itu kini sudah tiada . Sedikit demi sedikit kelopak matanya diangkat . Tiba-tiba kelihatan wajah pocong yang telah buruk dan berulat betul-betul berhadapan dengan mukanya ! Lalu pocong tersebut tersenyum sehingga menampakkan giginya yang tajam bagaikan mata gergaji serta berdarah . Semangat Meon kini semakin menghilang . Kepalanya terasa pening dan badan terasa amat lemah . Pandangan matanya kian kabur . Sehinggalah semua gelap dan Meon tidak sedarkan diri .
Pancaran matahari menyedarkan Meon dari pengsan . Perlahan-lahan dia bangun dan berlari menuju pulang ke rumahnya . Setibanya dia di rumah , kelihatan isterinya sedang sibuk menyiapkan makan tengahari di dapur . Meon lalu duduk di atas kerusi malasnya dan cuba untuk mengingat kembali apa yang telah dia lalui semalam . Sedang dia termenung panjang tiba-tiba sekeping surat jatuh dari poket seluarnya yang telah lusuh .
Dia memandang surat tersebut dengan penuh curiga . Setahunya poket seluarnya itu kosong sebelum dan selepas kejadian ngeri yang menimpa dirinya semalam . Dia lalu mengutip surat tersebut dan membuka lipatannya . Jantungnya kembali berdegup kencang dan rasa cemas mula menyerang perasaannya .

Di dalam surat tersebut tertulis…

La..apahal la lu lari semalam ? Buat penat gua je kejar lu . Apa ingat best ke lompat ke sana ke mari ? Gua bukan nak buat benda tak baik dengan lu pun beb . Anyway , gua tulis surat nie sebab nak bagitau lu yang cousin gua pesan suruh lu gali kubur dia elok-elok dan pastikan yang batu nisan dia bentuk kubah masjid . Sekian .
Yang benar
Joe Pocong Rock .

P/s – Kalau lu bersihkan kubur gua esok-esok , jangan lupa catkan nisan gua warna biru seluar Jeans Levis yek ? Baru la rock sket…

No comments: